Thursday 12 January 2012





Ke hadapan semua Penggerak Harakah Islamiyyah,

Parti Islam seMalaysia (PAS) amat memahami bahawa menyampaikan da’wah itu merupakan suatu kewajiban adalah suatu hakikat yang pasti seperti yang dituntut oleh Syara’ dan tidak pernah timbul sebarang khilaf di kalangan ‘ulama’ mengenai hukum ini.[1] Selanjutnya kita juga difahamkan bahawa pelaksanaan prinsip-prinsip wajib berda’wah itu dapat dilakukan melalui dua keadaan: secara fardiyy (perseorangan)[2] dan jama’iyy (berkumpulan/kolektif). Nas yang terkuat menunjukkan bahawa pelaksanaan da’wah secara jama’iyy adalah lebih dituntut yang mesti dilaksanakan oleh setiap ummat Islam sehingga tertegaknya Din dan Hakimiyyah Allah di atas muka bumi ini dan kaedah ini akan menyebabkan kesan da’wah lebih terasa. Dan di atas dasar itulah para ‘ulama’ tanah air yang menyedari hukum ini mewujudkan Parti Islam Se Malaya atau ringkasnya PAS, 55 tahun dahulu!

Bagaimanakah sesuatu Jama’ah Islam itu dapat menyusun organisasinya (tanzim) secara teratur[3] dan kemas ke arah mencapai matlamat yang telah digariskannya? Dalam hal ini, kita juga dapati kelemahan dan kegagalan kebanyakan Jama’ah Islam di dunia pada masa kini adalah berpunca daripada kelemahan aspek pengurusan organisasi atau tanzim Jama’ah. Berjaya-tidaknya sesuatu Jama’ah Islam amat bergantung kepada bagaimana Pimpinan (Qiyadah) dan pengikutnya (Jundiyyah) mengendalikan penyusunan organisasi Jama’ah itu. Dan di dalam mengendalikan Jama’ah itu, prinsip dan adab berJama’ah itu menjadi amat penting sekali kepada semua peringkat, dari Ahli Biasa PAS ke Mursyidul ‘Am.

Secara umumnya setiap Jama’ah Islam ataupun organisasi mempunyai prinsip dan kaedah tersendiri untuk menguruskan jentera organisasinya. Oleh itu, kita dalam PAS juga mempunyai adab, tertib dan akhlak berjamaah yang mesti dipatuhi. Selain daripada asas-asas al-Qur’an, as-Sunnah, Ijma’ ‘Ulama’ dan Qiyas yang kita gunakan sebagai dasar Jama’ah kita, sebagai sebuah parti politik moden yang berdaftar, kita turut memiliki Perlembagaan PAS yang menjadi peraturan organisasi, dan yang paling penting, keputusan muktamad yang dicapai dalam Majlis Syura PAS. Jika kita ahli PAS yang berakhlak dan beradab, kita wajib patuh kepada adab organisasi seperti yang dinyatakan di atas.

Dalam konteks ilmu kemasyarakatan moden, akhlak dan adab mengendalikan Jama’ah dapat dikaitkan sebagai ilmu pengurusan, iaitu proses merancang (planning), menyusun (organize), memimpin (lead) dan mengawal (control) sesuatu organisasi ke arah mencapai matlamat (objective) yang telah digariskan.[4] Sehubungan dengan itu, pengurusan Jamaah Islam pula bermaksud “menguruskan Jama’ah Islam ke arah menyempurnakan segala tuntutan Islam seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an dan Sunnah Rasulu’Llah SAW.”

Oleh sebab modul pengurusan Islam adalah al-Qur’an dan Hadith dan model pelaksanaannya ialah diri Rasulu’Llah SAW itu sendiri maka ummat Islam pada masa kini bergantung kepada para ‘ulama’ mu’tabar selaku pewaris para nabi untuk mentafsirkan segala mesej pengurusan yang telah ditinggalkan oleh Rasulu’Llah SAW menerusi amalan peribadi baginda SAW.

Dalam hal ini pengkajian sirah Rasulu’Llah SAW,[5] para sahabatnya serta ‘ulama’ mu’tabar terdahulu menjadi amat penting sebagai dasar manhaj pengurusan Islam pada hari ini. Selain itu, ilmu-ilmu moden yang diajarkan di universiti amat penting sebagai ilmu bantu ke arah menyempurnakan pelaksanaan tugas pengurusan itu sendiri. Malah di dalam era post modernism yang hangat diperkatakan oleh para sarjana ilmu kemasyarakatan kini,[6] aspek-aspek nilai dan kebenaran mula dititikberatkan.

Dengan mengambil kisah Nabi Allah Sulaiman AS sebagai satu contoh yang dihidangkan oleh Allah SWT kepada kita secara terang lagi bersuluh , dapatlah kita simpulkan bahawa sesebuah Jama’ah Islam yang berjaya itu mesti memiliki sifat-sifat berikut:
(i) memiliki ‘ilmu yang benar;
(ii) matlamat perjuangan yang jelas;
(iii) tanzim yang tersusun kemas;
(iv) manhaj perjuangan yang jelas;
(v) barisan kepemimpinan yang berkeupayaan;
(vi) pengikut yang faham, taat dan istiqamah;
(vii) dianggotai oleh ahli dipelbagai peringkat.

Dalam pertembungannya dengan musuh-musuh Islam, organisasi atau Jama’ah Islam harus meneliti batas keupayaannya. Harus diingat: kekalahan dalam sesuatu pertembungan boleh ditafsirkan sama ada perencanaan musuh terlalu baik ataupun penyusunan organsiasi kita yang lemah. Dan kelemahan kita dapat berlaku melalui tiga cara : kelemahan dalaman yang sangat rumit atau ancaman luar yang terlalu hebat atau barangkali juga kedua-duanya sekali. Pimpinan harus meneliti bersungguh-sungguh segala permasalahan tanzim Jama’ah. Pimpinan mesti mempunyai keupayaan mengesannya dari peringkat awal lagi dan sekurang-kurangnya dapat mengawal keadaan. Berdasarkan pengalaman beberapa Jama’ah Islam, adalah didapati masalah dalaman amat rumit untuk diselesaikan begitu sahaja. Kepemimpinan yang bercelaru menyebabkan organisasi lemah dan pengikut tidak dapat dikawal. Dalam hal ini al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna telah mengingatkan kepada seluruh anggota jamaahnya apabila beliau berkata:
“Saya tidak bimbangkan keadaan kamu dan ancaman musuh-musuh Islam, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah diri kamu sendiri. Saya tidak takutkan ancaman orang orang Inggeris terhadap kamu, atau orang Amerika atau Rusia atau lainnya. Yang saya takutkan ialah kamu melakukan dua perkara:

(a) Kamu mengenepikan Allah, lalu Allah mengenepikan kamu;

(b) Kamu berpecah belah sesama sendiri, maka kamu tidak akan berguna lagi.[7]



Ingatlah akan pesanan tegas daripada Rasulu’Llah SAW bahawa:
“Apabila dilantik seseorang untuk sesuatu tugas yang bukan ahlinya, maka nantilah saat kehancurannya!”

Sesungguhnya jalan da’wah itu memang berliku dan tidak pernah dihampar dengan bunga-bungaan yang harum, tetapi jalan yang susah dan panjang.[8] Bukankah Allah SWT telah menegaskan sifat segala ujian dan cabaran da’wah itu sendiri :

“Alif…Lam…Mim…. Adakah manusia menyangka bahawa
mereka akan dibiarkan mengatakan: “Kami telah beriman”
padahal mereka tidak duji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah
orang-orang sebelum mereka. Maka Allah pasti berdusta.”
(Al-Ankabut: 1–3)

Amatlah penting bagi kita yang berada di atas jalan da’wah ini, memelihara keaslian da’wah, memelihara martabat Islam yang dibawa dan memelihara kesucian nama Jama’ah Islam yang kita anggotai ini, iaitu Parti Islam Se Malaysia atau PAS supaya kita, Jama’ah dan Islam yang kita bawa ini tidak menjadi bahan ketawa dan fitnah orang lain di antara lainnya termasuklah:
(i) Menyeleweng dari landasan asal dan kefahaman
tentang Islam dan Jama’ah;

(ii) Tidak mengutamakan aspek tarbiyyah;

(iii) Mendedahkan Jama’ah kepada orang luar;

(iv) Mengenepikan Syura dan nasihat;

(v) Mengutamakan kulit bukan isinya – banyak
bertengkar tetapi sedikit kerja;

(vi) Berjalan mengikut kaki tanpa panduan yang sahih;



(g) Cenderung kepada masalah furu’ dan mengenepikan dasar.[9]



Dan…….ingatlah pesanan Sayyidina ‘Ali Abi Talib bahawa :
“Perencanaan batil (musuh) yang tersusun kukuh hampir pasti
menumbangkan kebenaran (Islam) yang kucar-kacir”.
Dengan memahami bahawa jalan da’wah itu amat berliku dan dipenuhi ranjau berduri, maka al-Imam Hasan al-Banna telah menggariskan rukun-rukun da’wahnya (
الأركان الدعوة ) peringkat-peringkatnya ( مرا حل الدعوة ) di mana Rukun Faham ( الفهم ) sahaja mempunyai dua puluh (20) buah huraian daripada sepuluh (10) Rukun Bay’ah ( لأركان البيعة)[10] sebagai asas-asas dan dasar fiqh ad-Da’wah yang wajib (dari segi hukum ‘amal jama’iyy) diikuti oleh setiap mujahid da’wah. Sesunugguhnya, antara yang Haq dan batil, ada pertentangannya yang nyata. Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan memikul bebanan yang berat. Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang terus menerus dan hasilnya terserah kepada Allah di waktu yang akan ditentukan-Nya.[11]

Akhlak dan adab anggota Jama’ah adalah nadi terpenting dalam perjalanan sesebuah Jama’ah Islam. Di dalam rangka ‘amal jama’iyy, setiap langkah ahli PAS, tidak kira apa jawatan yang pegangnya sama ada di Unit, Kawasan, Negeri ataupun Pusat, akan mewakili dan melambangkan imej dan hasrat parti atau Jama’ah. Kesilapan ahli akan menempelakkan masalah dan musibah kepada Jama’ah! Pimpinan pula sebagai anchor jentera pengurusan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap organisasi Jama’ah. Kita berasa amat bernasib baik dan dengan Takdir dan Izin Allah SWT jua, Jama’ah Islam bernama PAS ini dikendalikan dan ditadbir di bawah para ‘ulama’ dan kita berdoa agar Jama’ah kita terus dirahmati Allah SWT. Mengikut prinsip ‘amal jama’iyy, semua arahan pimpinan atasan wajib dipatuhi oleh pimpinan bawahan dan seterusnya di semua peringkat kecuali arahan yang bercanggah dengan nass yang jelas berdasarkan syariat Islam.

Oleh yang demikian, para ikhwah sekalian, kita hanya ada satu pilihan – iaitu untuk yang bersama dengan orang-orang yang mendapat tarbiyyah tertib lagi penuh beradab. Dan para muktamirin telah membuat pilihan..... iaitu mereka yang ikhlas bersungguh-sungguh mempertahankan Jama’ah berdasarkan hujjah-hujjah syar’iyy dalam konteks dakwah yang luas terbentang berasaskan sumber-sumber sahih daripada al-Qur’an, Hadith, Ijma’ dan Qiyas ulama’ terdahulu. Siapakah yang kita maksudkan - tidak lain dan tidak bukan, iaitu para ulama’ sendiri dan mereka yang mendukung para ulama’ dan profesional yang dapat membantu ulama’. Jangan sekali-kali kita mengikut kata-kata mereka yang tidak berakhlak dan beradab dalam jamaah! Kita elakkan barisan kepimpinan kita daripada anasir-anasir perosak yang menyelewengkan hala tujuan dakwah kita....

Jama’ah Harakah Islamiyyah kita yang bernama PAS sebagai sebuah parti politik telah melaksanakan kewajiban meletakkan al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber sahih rujukan dan dasar perjuangan. Amalan syura yang berkesan pula akan membantu pimpinan mengemudi organisasi dengan cekap dan mendapat keredhaan Allah SWT. Gabungan tenaga di antara barisan pimpinan yang bijak dan pengikut yang setia di bawah manhaj yang tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan dan bakal melahirkan Hizbu’Lah yang dinantikan. Sebarang usaha yang dilakukan di luar kaedah-kaedah tersebut harus ditolak dan tidak dapat diterima sebagai ‘amal-‘amal Islam kerana bagi kita yang mendukung Islam, “tujuan tidak menghalalkan cara”. Jangan ada, ahli mahupun pimpinan, yang boleh menerima arahan dari luar jama’ah dan dari luar pimpinan kita. Ini amanat daripada barisan Pimpinan Tertinggi kita dan kita sebagai ahli Jama’ah PAS wajib menerima dan melaksanakan amanat ini. Hanya dengan sedemikian Rahmat Allah SWT akan bersama-sama kita dan nun jauh di sana……Janji Allah SWT menanti kita……………

Kepimpinan sedia ada dalam jamaah Islam bernama PAS adalah kepimpinan bersifat jama’iyy bukannya fardiyy. Ia bukanlah milik peribadi. Kewajiban mematuhi arahan pemimpin tertinggi oleh pemimpin bawahan hanya berlaku dalam perkara-perkara ma’ruf bersifat syar’iyy sahaja kerana larangan mematuhi arahan pemimpin tidak syar’iyy adalah perintah yang amat jelas oleh Rasulullah SAW.[12] PAS bukan milik Presiden ataupun Mursyidul ‘Amnya. Ia adalah harta dan milik seluruh anggota dan ahli PAS serta mereka yang menyokong cita-cita Islam yang dibawa oleh PAS. Ia dipandu oleh Jawatankuasa Pusat dan di bawah kepimpinan ulama’ yang dikawal-selia oleh Majlis Syura Pusat. Oleh sebab struktur yang sedemikian, Tuan Guru Mursyidul ‘Am tidak boleh “memecat” atau “mengarahkan” atau memberi maksud arahan kepada mana-mana pimpinan pimpinan PAS Pusat atau Negeri untuk meletakkan jawatan yang telah disokong oleh majoriti muktamirin. PAS bukan dipimpin oleh pandangan seorang daripada beberapa pimpinan sedia ada walau bagaimana masyhur dan tersohor pun pimpinan itu. Apa yang berlaku kini amat sedih dan tidak mencorakkan kepimpinan Islam yang mementingkan akhlak dan adab berjamaah. Bukankah ucapan penerimaan jawatan khalifah oleh Sayyidina Abu Bakar dan pelaksanaan Majlis Syura Sayyidina ‘Umar menjadi bukti yang paling simple bahawa jamaah Islam bersifat jama’iyy bukannya fardiyy selain bukti yang terlalu banyak dalam al-Qur’an dan hadith?

Mengetepikan semua prinsip ‘amal jama'iyy dan uslub dakwah yang diamalkan adalah tanda dan bibit awal kehancuran jamaah Islam itu sendiri. Apabila Allah menganjurkan penyebaran dakwah secara terbuka luas tanpa batasan dengan memberi nasihat berguna serta perbahasan (bermujadalah) dengan hujjah-hujjah yang terbaik,[13] maka ia adalah metodologi yang anjurkan oleh Islam untuk diselami oleh para du’at. Dan asas jamaah Islam itu ada dua – kefahaman dan ukhuwwah. Kemudian datanglah kekuatan diri dan mahabbah. Tidak mungkin seseorang da’i itu menggadaikan prinsip Islamnya kerana terlalu bergelut dengan amalan politiknya. Tidak mungkin dan tidak boleh seorang Tok Guru mengambil hujjah politik mengatasi hujjah al-Qur’an. Apatah lagi seorang Tok Guru yang cukup senior yang di kalangan beberapa orang sudah dianggap sebagai legenda siyasah Islam! Dan jika masih kusut lagi dan tidak selesai sepenuhnya, bersyuralah seperti yang Allah ajarkan. Bukankah Majlis Syura adalah badan penasihat parti? Manfaatkan Syura.

Namun hakikatnya Tok Guru adalah manusia jua, sama seperti Muhammad SAW, Junjungan yang kita sanjungi dan sayangi. Bukankah beberapa kali Allah SWT menegur kesilapan Rasulullah SAW? Di dalam sifat kemaksuman baginda SAW, Allah turunkan ujian sebagai pengajaran buat manusia kerana Muhammad itu juga seorang insan. Sudah lupakah kita peristiwa getir fitnah al-Kubra yang melanda Sayyidatina Aishah RA yang kehilangan kalungnya yang telah mendukacitakan Rasulullah SAW, membangkitkan kemarahan Sayyidina Abu Bakr kerana anakandanya telah ‘derhaka’ terhadap suaminya, yang juga seorang Rasul? Dan apabila ditanya olehnya kepada Aishah - “siapakah yang dapat membantumu kerana tiada sesiapa lagi yang mempercayaimu?” Dengan tangisan sedih namun penuh tekad dan komited dengan pendiriannya, Ummul Mukminin menjawab – “Allah SWT akan menunjukkan kebenaranku!” Dan ketika mana tiada manusia yang dapat membantu, turunlah Wahyu Ilahi yang telah membela Aishah, yang telah memperbetulkan kesilapfahaman Rasulullah dan paling penting – mengajar seluruh ummat Islam bahawasanya Kebenarn itu hanyasanya daripada Allah, Pemilik Yang Maha Agung!

Bermunajatlah wahai Tok Guru dan kami bersamamu.

Titisan air mata ini akan menjadi saksimu, Ya Allah...... betapa gundahnya hati ini mengenang ujian yang Engkau turunkan demi mematangkan kami. Tapi kami tetap percaya dengan-Mu, ya Allah kerana Janji-Mu pasti tetap berlaku seperti yang telah Kau janjikan kepada kami yang terdahulu dan telah Kau tunaikan terdahulu. Namun kami amat berharap kepada-Mu, ya Allah, janganlah Kau bebani kami dengan ujian yang terlalu berat untuk kami pikul, dalam usaha kami bertatih di atas jalan dakwah yang telah Engkau gariskan itu. Ampunilah kami, restuilah kami dan kami bermunajat kepada-Mu, ya Allah......agar Kau permudahkan urusan kami agar kami dapat kembali bersatu hati, mengumpul segala tenaga sedia ada untuk menegakkan Kalimah-Mu di muka bumi Malaysia ini.

Amin, ya rabbal ‘Alamin!


Abu Aiman,
Kuala Lumpur




Nota Kaki:
[1]Lihat nas-nas al-Qur’an, umpamanya dalam surah Ali ‘Imran: 104 dan 110, an-Nahl: 125, as-Saff: 4 dan al-Ma’idah: 54-56. Terdapat juga sekian banyak hadith-hadith sahih yang menjelaskan kewajiban berda’wah. Lihat juga tulisan yang mendalam oleh para ‘ulama’ harakiyyah mengenai hukum berda’wah, di antaranya termasuklah Dr. Abdul Karim Zaydan dalam Dasar-Dasar Ilmu Da’wah dan Fathi Yakan dalam Bagaimana Kita Memanggil Kepada Islam.
[2]Sila lihat prinsip dan kaedah pelaksanaan Da’wah Fardiyyah yang telah dikupas dengan indah oleh al-Ustadh Mustafa Masyhur dalam Da’wah Fardiyyah, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 1985.
[3]Penegasan Allah SWT dalam surah as-Saff: 4 perlu diteliti dengan mendalam. Da’wah perlu disusun rapi secara kolektif, dirancang, dikawal dan dipimpin secara berkesan untuk mencapai matlamat yang telah digariskan.[4]Huraian tradisi konsep pengurusan ini pernah diberikan oleh Stoner dalam J.A.F. Stoner dan C. Wankle, Management, New Jersey: Prentice Hall, 1986. Lihat juga Ernest Dale, Organisation: New York, American Management Association, 1967.[5]Di antara kajian sirah yang terbaik yang boleh dijadikan panduan anggota Jamaah Islam ialah Fiqh as-Sirah oleh Sa’id Ramadan al-Buti, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar, 1987, Fiqh as-Sirah oleh Muhammad al-Ghazali, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar, 1986 dan As-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa ‘Ibar oleh Dr. Mustafa as-Siba’i.
[6]Di antara yang terkehadapan ialah Peter F. Drucker yang banyak menulis tentang kelakuan manusia dalam penyusunan organisasi moden. Lihat umpamanya, karangan beliau, Post-Capitalist Society, 1993.[7]Diungkapkan semula oleh Dr. Yusuf al-Qardawi dalam Harakah Islamiyyah ; Suatu Tuntutan, Shah Alam: KPIITM, 1981, hal. 30-31.[8] Lihat huraian tentang fiqh ad-Da’wah dalam siri Tariq ad-Da’wah oleh al-Ustadh Mustafa Masyhur, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 1985. Diterbitkan kembali semua siri tulisan tersebut dalam dua jilid yang berasingan dengan judul Min Fiqh ad-Da’wah Mustafa Masyhur Jld. I dan 2.
[9]Kupasan yang mendalam dan indah ini telah dihuraikan oleh mujahid dakwah ini dalam tulisannya yang amat penting, Jalan Da’wah: Di antara Keaslian dan Penyelewengan, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar, 1986.
[10]Lihat tulisan-tulisan beliau dalam Majmu’ah al-Rasa’il al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna, Dar ad-Da’wah, 1990.
[11]Mustafa Masyhur, Jalan Da’wah, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 1985, hal. 5.[12]Di dalam hadith yang masyhur, Rasulullah SAW ada menyebut, “La ta’atan li makhluqin fi ma’siati’l-Khaliq” (tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan syara’)[13] Surah an-Nahl: 125















 











Tuesday 3 January 2012

IRC DAN PENGLIBATAN DAKWAH DI MALAYSIA - SATU CATATAN RINGKAS


Sejarah Penubuhannya           


            Islamic Representative Council (IRC) atau dalam bahasa Melayunya, Majlis Syura Muslimin (MSM)[1]  adalah satu kumpulan dakwah di kalangan para pelajar Malaysia yang ditubuhkan di United Kingdom (UK) pada awal tahun 70-an, bergerak cergas sehingga ke hari ini.[2]  Ada pendapat yang mengatakan ianya diasaskan di Brighton, England oleh para pelajar Malaysia yang dihantar ke sana atas biasiswa Kerajaan Perskutuan.[3] Gerakan IRC amat rahsia sifatnya. Sistem yang diamalkan di dalam IRC amat rigid, tetapi berdisiplin tinggi, mempunyai manhaj tarbiyyah usrah yang tersusun lengkap dengan sukatan dan peringkatnya,[4]  amat menekankan aspek tarbiyyah di kalangan ahli, dikawal sepenuhnya oleh naqib dan pimpinannya, bergerak secara yang amat halus dan teliti dan rata-ratanya dianggotai oleh kalangan intelektual yang “bijak dari segi pencapaian akademiknya”.[5]


            Menurut seorang pengkaji sosial, IRC pada mulanya dipimpin oleh barisan intelektual dan pelopor gerakan Islam di Indonesia yang secara kebetulan juga belajar di UK terutamanya  Ir. Imaduddin Abdul Rahim[6] yang mendapat pendedahan gerakan Islam dari Ikhwanul Muslimin, Mesir dan Jami’at Islami, Pakistan.[7]  Pada awal tahun 70-an, Kerajaan Malaysia melaksanakan program memberikan biasiswa kepada ramai pelajar lepasan MCE/SPM dan HSC/STP untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. UK adalah destinasi yang  favourite di kalangan Malaysians. Di Malaysia sendiri, Institut  Teknologi Kebangsaan – ITK (kini Universiti Teknologi Malaysia – UTM) menjadi base kepada IRC apabila graduan yang telah belajar di UK itu (kebanyakannya mengambil jurusan kejuruteraan, sains gunaan dan berkaitan), pulang sebagai pensyarah dan mengajar di ITK. Hubungan ITK dengan Institut Teknologi Bandung (ITB) di Indonesia menjadi akrab.

             Demikianlah, semakin tahun semakin ramai pelajar Malaysia dihantar ke luar negara, semakin meluas fikrah IRC mula tersebar UK, Australia, di Amerika Syarikat (umpamanya di Terra Houte, Houston yang  merupakan “Kampung Malaysia” di Amerika!) malah di Mesir dan Jordan. Pimpinan-pimpinan tertinggi al-ikhwan (‘Alami) sering berkunjung ke UK, USA, Australia, Mesir dan Jordan dan para pelajar Malaysia didedahkan secara langsung kepada pengalaman mereka dalam dakwah.[8]  Semua ini adalah pengalaman yang amat baru bagi pelajar kita di luar negeri. Berbanding dengan rakan-rakan mereka yang menuntut di dalam universiti tempatan yang hanya mendapat tarbiyyah daripada kalangan ustaz-ustaz tempatan, peluang berjumpa, berbincang dan bergaul dengan barisan pimpinan al-Ikhwan dan Jami’at Islami dirasakan amat luar biasa dan memberikan kekuatan baru kepada para pelajar Malaysia. IRC sering menyebut bahawa kini mereka  mempunyai pakar rujuk yang benar-benar harakiyyah sifatnya” malah adalah yang tidak segan-segan mengatakan bahawa “mereka telah diterima masuk oleh Ikhwan ke dalam Tanzim ‘Alami”.[9]



IRC, ABIM dan PAS di Malaysia


            Bagaimanapun di Malaysia sudah wujud Gerakan Islam bernama ABIM di peringkat persatuan bukan politik dan PAS sebagai parti politik. Semua pimpinan IRC ketika itu seperti Prof. Abang Abdullah, Zaid Kamaruddin, Mustafa Abdul Kader, Abdul Jalil Hassan, Azman Hussin, Ariffin (Said?), Ahmad Tarmidzi, Dzulkifli Muhammad, Saari Sungip (Abu ‘Urwah), Dr. Abdul Rahim Gouse, Dr. Mohd Hatta Shahrom dan sebagainya amat memahami bahawa mewujudkan satu Jamaah lagi di Malaysia apabila mereka pulang adalah tidak syar’iyy dari segi prinsip jamaah Islam malah bertentangan dengan kaedah gerakan Islam. Hendak duduk di dalam ABIM, mereka tidak sebulu dan sehaluan. Untuk melibatkan diri dalam politik, tarbiyyah  dan fikrah mereka menghalang mereka daripada berbuat demikian, lagipun seperti yang sering mereka  hujjahkan  ketika itu: “PAS tidak mempunyai tarbiyyah dan ustaz-ustaz dalam PAS tidak mendapat tarbiyyah harakiyyah daripada kalangan al-Ikhwan Mesir dan oleh itu, memasuki siasah apatah lagi PAS, adalah “tidak betul” dan PAS perlu dijauhi”.[10]

            Pada awal 80-an IRC mengambil sikap “tidak menterjemahkan identiti diri” mereka di dalam masyarakat. Namun usrah-usrah IRC wujud terutama di kampus-kampus universiti tempatan secara sulit dan rahsia. Ketika itu sudah ramai tenaga IRC pulang ke tanah air selaku pensyarah terutama di UM, UKM, UPM, ITM dan UTM. Manakala terdapat juga beberapa orang tenaga ustaz yang mendapat didikan di Mesir yang memberikan sumbangan tertutup kepada mahasiswa kampus seperti Ustaz Darus Senawi di UM, Ustaz Zawawi Ali di Kolej Islam Kelang, Ustaz Alias Othman di UM, Ustaz Kamil Abdul Majid di UM dan sebagainya.[11]

            Dalam perbincangan-perbincangan tertutup di peringkat tertinggi IRC, rupa-rupanya ada usaha-usaha sulit untuk membenarkan figure-figure IRC tertentu untuk memasuki medan dakwah secara terbuka terutama PAS.[12] Maka saudara Mustafa Abdul Kader yang bergerak aktif  dalam Pemuda dan PAS Shah Alam dan Selangor menjadi test case IRC yang pertama. Ketika itu, ABIM sudah tidak mendapat tempat dan PAS menjadi tumpuan. Mustafa Abdul Kader diberi kepercayaan  sehingga menduduki EXCO Pemuda PAS Pusat dan juga EXCO PAS Selangor. Kemudian lebih ramai bekas IRC”[13] memasuki PAS termasuklah YB Khalid Samad[14] yang kemudiannnya diikuti oleh lainnya, yang paling menonjol kini ada YB Dr. Dzulkifli Ahmad (Abu Iman), AJK PAS Pusat.  Sumbangan bekas IRC dalam PAS memang ada kesannya. Pimpinan PAS terutamanya Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang sangat terbuka dalam kes IRC masuk PAS. Pintu PAS dibuka seluas-luasnya kepada mereka. Kritikan orang-orang IRC di luar dan  dalam negara diterima baik oleh PAS dalam rangkaian semangat “IRC menegur kita untuk sama-sama membina PAS” dan kini “keluarga Jamaah Islam semakin luas”.


            Bagaimanapun pada tahun 1985 sudah kedengaran suara-suara dari kalangan Pemuda PAS bahawa anggota IRC dalam PAS “bawa fikrah IRC dalam PAS dan secara diam-diam mengutuk PAS di luar”. Semakin banyak bukti diperolehi untuk dikemukakan kepada Dewan ‘Ulamak dan Dewan Harian PAS bahawa barangkali masanya sudah tiba bagi PAS untuk mengkaji sejauh mana peranan bekas IRC dalam PAS. Pertembungan terbuka mula berlaku. Tetapi di peringkat pimpinan tertinggi PAS  Pusat,  masih tiada apa masalah. Malah, Ustaz Abdul Hadi Awang  (kini YB Tuan Guru Dato' Seri) menulis kata pengantar siri buku Risalah Usrah oleh Abu ‘Urwah (YB Saari Sungip). Buku yang dianggap teks utama usrah IRC itu menjadi bahan usrah utama  di dalam kampus-kampus sehinggakan terdengar cerita buku yang sama digunakan juga oleh para mahasiswa Malaysia di Universiti al-Azhar dan universiti lain di Timur Tengah![15]

            Suatu ketika dulu, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Dr. Abdul Aziz Hanafi adalah di antara pimpinan PAS yang bermati-matian mempertahankan IRC dalam PAS manakala Ustaz Nakhaie dan Ustaz Harun Taib di antara yang paling kuat menentang fikrah IRC ketika itu. Satu perkara yang menarik ialah pimpinan tertinggi PAS masih memberikan ruang kepada IRC sehinggalah PAS Shah Alam mengemukakan dokumen-dokumen penting membuktikan penglibatan IRC dalam beberapa strategi PAS menyebabkan PAS mengambil tindakan tegas memecat Mustafa Abdul Kader dan kemudiannya Ustaz Alias Othman mengundur diri.


            Pada bulan Mac 1990 satu perkembangan menarik berlaku dalam IRC. IRC yang sudah tidak mendapat tempat dalam ABIM dan PAS mula mengorak langkah  drastik dengan mengusulkan supaya ahli Jamaah dibenarkan memasuki UMNO.[16] Usul itu dengarnya ditolak. IRC kembali seperti biasa tetapi retak dalam IRC sudah semakin rancak.  Sebenarnya retakan dalam fikrah IRC pertama kalinya bermula di UK pada akhir tahun tujuh puluhan lagi apabila ada kalangan yang ingin menubuhkan Suara Islam yang kemudian dijelmakan sebagai  "Parti Negara Islam" apabila kembali ke tanah air, ada yang ingin masuk ke dalam ABIM dan PAS manakala ada yang ingin kekal secara rahsia di Malaysia. Sudah mula tidak sepakat sejak dari peringkat itu lagi.

           



IRC, JIM dan IKRAM

             Pada tahun 1991 sekali lagi IRC bergolak. Kali ini ada usul di kalangan mereka untuk menzahirkan IRC di mata masyarakat dengan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Usul diterima majoriti dan Presiden JIM pertama adalah Abu ‘Urwah (Saari Sungip)[17] sehingga tahun 1999 di mana Prof. Madya Dr. Mohd Hatta Shahrom (ketika itu) mengambil tempat sebagai Presiden. Pada tahun 1999 juga ramai pimpinan JIM menganggotai KeAdilan, di antaranya ialah Sahari Bahari (bekas Naib Presiden JIM) yang menjadi EXCO Pemuda KeAdilan. Hj. Saari Sungip menjadi calon KeAdilan dalam Pilihanraya 29 November 1999 tetapi tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tetapi kini menjadi ADUN PAS Hulu Kelang.

           

            IRC sekali lagi bergolak pada tahun 2009 apabila kepimpinannya yang berada dalam HIS mencadangkan penubuhan IKRAM pada 22 Oktober 2009.  Mengikut kalangan tertentu IKRAM diwujudkan bagi menggabungkan tenaga semua ikhwahnya yang pernah mendapat pendedahan tarbiyyah IRC di luar negara tetapi   kini terlibat dalam pelbagai jemaah; ada yang dengan JIM, ada yang dengan ISMA[18] dan ada yang dengan HALUAN.[19]  Demi menggabungkan semua kenalan seniors yang masing-masing membawa uslub yang berbeza, IKRAM dilahirkan.[20]  Namun JIM, HALUAN dan ISMA tetap berasingan.  Pada  Disember 2011, dalam  PPN JIM ke-21, Zaid Kamaruddin mengisytiharkan dalam Muktamar berkenaan  bahawa JIM akan dibubarkan dan diserapkan ke dalam IKRAM sepenuhnya, yakni tanpa ISMA dan HALUAN.   



            Sebab utama pembubaran JIM, penubuhan IKRAM dan seumpamanya hanya diketahui oleh pimpinan yang duduk di dalam Tanzim IRC secara rahsia.  JIM, IKRAM dan seumpamanya adalah wajihah (front organization) terbuka dalam masyarakat umum sebagaimana yang dirangkumkan dalam masterplan dan grand design IRC sejak tahun 70-an lagi.  Bahawa JIM, IKRAM adalah IRC dan daripada kumpulan yang sama tidak dapat dinafikan lagi kerana dalam Muktamar JIM yang terakhir baru-baru ini apabila Presiden JIM terakhir ada menyebutkan bahawa....    



            "Ramai pengasas JIM merupakan bekas pelajar di luar negara."



            "Kita berhimpun membina Jamaah di kalangan umat Islam setempat bagi        menyempurnakan tanggungjawab bersama. Kemudian kita bina jamaah           yang menyatukan pelajar Islam dari Malaysia, IRC, Islamic Representative          Council pada bulan April 1974."



            "Kita kembali ke Malaysia pada pertengahan 1970-an.  Terus        menggerakkan         usaha dakwah dan tarbiah terutamanya di kampus-     kampus.    JIM   hanya  ditubuhkan         pada 27 Julai 1990......IKRAM             ditubuhkan pada 22 Oktober 2009."





Penutup



            Demikianlah secara ringkas peranan yang dimainkan oleh IRC dalam medan dakwah di Malaysia yang turut mengalami pasang surutnya. IRC sendiri telah mengalami banyak perpecahan di kalangan ahli dan penyokongnya: dari IRC kepada Suara Islam di UK dan berlanjutan hingga ke Malaysia, kemudian menjadi IRC di Malaysia, memasuki ABIM dan PAS dan bersendiri di bawah JIM. Mereka tubuhkan pula IKRAM pada tahun 2009 dan pada bulan Disember 2011 ini membubarkan JIM dan berbondong-bondong memasuki IKRAM pula.   Esok-esok nanti entah apa pula……UMNO?  Tidak mustahil kerana kertas kerja asas sudah ada sejak awal 1990 lagi......



            Demikianlah secara ringkas penglibatan IRC dalam medan dakwah di Malaysia yang sempat kita bentangkan berdasarkan pengalaman bersama-sama mereka untuk penilaian para pembaca.  Kita tidak mengulas kesannya ke atas PAS dan ABIM di sini kerana memberikan peluang kepada para pembaca yang budiman membuatnya.  Kita bentangkan fakta-fakta sahaja.  Selamat mengulas dan berikanlah ulasan yang berfakta dengan penuh adab berdasarkan pengalaman masing-masing ....



            Wallahu a’lam bissawab.




Akhukum fi'Llah,



Kamal Izzuddin Abdullah



                [1]Ada pelbagai pendapat tentang bagaimana nama IRC atau MSM ini mula diperkenalkan. Pendapat yang diterima umum ialah kefahaman bahawa mewujudkan sebuah gerakan Islam di luar negeri tidak praktikal kerana medan sebenar adalah di Malaysia.  Mereka tidak boleh tubuhkan gerakan Islam di Malaysia kerana mereka masih belajar dan berada di luar Malaysia.  Akhirnya, solution terbaik adalah dengan mengadakan sebuah "Syura" yang disepakati.  Mereka tidak mahu bergabung dengan badan-badan sedia ada di luar negara sebab tidak sealiran fikrah dengan mereka.
[2]Zainah Anwar yang buat pertama kalinya dalam sejarah IRC, telah berjaya menemubual ramai pimpinan IRC dan menerbitkan kajian Ijazah Sarjana Politiknya dalam bentuk sebuah buku kecil tetapi penuh  makna berjudul, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1990.
                [3]Zaid Kamarudin dalam Ucapan Dasar perasmian Jemaah Islah Malaysia (JIM) pada bulan Dismber 2011 telah dengan jelas menyatakan JIM mempunyai pengalaman selama lebih 30 tahun bermula dari April 1974 di England secara tak langsung mengaitkan JIM dengan IRC. 
[4]Kita harus mengakui bahawa IRC berjaya menyusun manhaj usrah yang sangat kemas dan amat pratikal digunakan di peringkat mahasiswa universiti. Inilah yang menjadikan ia berjaya menarik semakin ramai mahasiswa universiti pada akhir 70-an sehingga pertengahan 80-an. Asas model tarbiyyah yang digunakan adalah berdasarkan al-Ikhwanul Muslimimun, Mesir.
[5] Ini adalah ciri-ciri umum yang terdapat dalam sistem IRC. Memang tidak dapat dinafikan  bahawa IRC mampu mengumpul tenaga-tenaga du’at yang sedemikian, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Itulah kelebihan  IRC. Dengan dokumen usrah yang tertib dan mantap, IRC berjaya menambat hati para pelajar Malaysia di luar negara berbanding dengan pengaruh ABIM dan PAS.  Tenaga-tenaga profesionalnya yang gigih ditambah dengan sokongan du'at dari Mesir dan Jordan yang berlatarbelakangkan gerakan al-Ikhwanul Muslimun, ternyata IRC adalah satu force yang boleh membawa kesan yang agak besar di Malaysia.
[6]Pak Ir. Imaduddin Abdul Rahim sangat berpengaruh di kalangan pelajar IRCdan hal ini didedahkan sendiri oleh salah seorang senior bekas IRC, “Ayah Hasan Firdaus” berjudul, Gerakan Islam – Satu Sejarah dan Pengalaman, Bandar Baru Bangi: Madrasah Muttaqin, 1989, hal. 4.
[7]Lihat Zainah Anwar, op. cit.
[8]Umpamanya sila lihat bahan-bahan Tamrin Pimpinan Winter Gathering IRC  pada tahun 1982-1985 di UK.
[9]Dakwaan ini kuat kedengaran tetapi dinafikan sekers-kerasnya oleh pimpinan IRC apabila ditemui.
[10]Dakwaan ini amat kuat kedengaran dari tahun pertengahan tahun 70-an sehingga awal 80-an dan angin perubahan amat kuat bertiup di kampus-kampus universiti tempatan. Mengikut sdr. Fauzi (bukan nama sebenar) yang pernah memimpin pelajar pada hujung 70-an sehingga awal 80-an di sebuah  universiti tempatan, ditambah dengan faktor Anwar memasuki UMNO, hujjah-hujjah IRC bahawa sistem tarbiyyah ABIM semakin gagal mendapat tempat. Di UM, UKM, UTM, UPM dan ITM, ramai mahasiswa yang pro-ABIM mula mendekati ustaz dan pensyarah yang pro-IRC. Bagaimanapun terdapat ramai juga yang mendekati PAS sebagai alternatif kepada ABIM yang dilihat menghampiri  UMNO bahkan sudah ada gelarab untuk ABIM yang berbaik dengan UMNO ketika itu – ABINO”!
[11]Perkara ini tidak menjadi rahsia lagi kerana ia kini  sudah menjadi makluman umum. Sebahagian besar daripada mereka bergerak di dalam ABIM seperti Ustaz Zawawi Ali (kini Dr.) dan Ustaz Darus Senawi. Bagaimanapun pendirian Ustaz Alias Othman amat berlainan sekali. Beliau hanya pernah dijemput menduduki Lujnah Tarbiyyah PAS Pusat atas jemputan Ustaz Abdul Hadi Awang tetapi kemudiannya keluar  kerana beberapa masalah yang timbul antara PAS dengan IRC. PAS mendapati bahawa Ustaz Alias dan kalangan lain dalam PAS hanya sebelah kaki sahaja manakala sebelah kaki lagi masih kekal dalam IRC.
[12]Keputusan ini adalah berdasarkan konsep “Harakiyyah Islamiyyah Syumuliyyah” (HIS) IRC di mana IRC menganggap PAS dan ABIM adalah front organization yang boleh “IRC ketengahkan kepada  masyarakat”. Perkara ini tercatat dalam dokumen blueprint IRC yang disedarkan dalam Summer dan Winter Gatherings peringkat pimpinan Nuqaba' mereka yang diadakan secara tertutup di luar negara.  Maklumat-maklumat terperingkat ini mula dipecahkan oleh kalangan bekas IRC yang kemudian menolak konsep IRC apabila mula menyelami gerakan ABIM dan PAS apabila kembali ke tanah air.  Nama-nama mereka masih kita rahsiakan di peringkat ini atas sebab-sebab tertentu.
[13] Sdr. Mustafa Abdul Kader mengakui bahawa beliau mempunyai ramai kawan dalam IRC tetapi menafikan bahawa beliau masih duduk dalam tanzim IRC. Bagaimanpun akhirnya rahsia itu terbongkar juga.
[14]Ketika di UK sdr. Khalid Samad aktif dalam IRC tetapi kemudian broke off  dan mengasaskan Suara Islam di UK.  Khalid yang rebellious in nature ini memang tidak berubah sejak zaman pelajarnya, dari "sebelum mengenal Islam" sehingga kini dalam barisan kepimpinan PAS Pusat.  Bacalah temuramah menarik dengan beliau (atas nama samaran) dalam Zainah Anwar, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1984.

[15]Perkara ini hampir tidak dapat dipercayai lebih-lebih lagi memikirkan bahawa sepatutnya para pelajar jurusan agama di Timur Tengah membaca teks-teks asal dalam bahasa Arab dan merujuk kepada guru-guru yang dipercayai.
[16]Dengan takdir Allah, kertas kerja berjudul “Usul Pendekatan Terhadap UMNO” bertarikh 28 Februari 1990 diperolehi dan pecah tembelang IRC kepada PAS. Kini IRC ridak boleh berdolak dalih lagi malah berasa malu terhadap PAS. Bagaimanapun masih terdapat ahli IRC yang cuba meyakinkan pimpinan PAS bahawa usul itu dibawa sesetengah ahli IRC yang ingin berpolitik dan tidak mewakili keseluruhan fikrah IRC. Kertas kerja ini masih dianggap rahsia oleh IRC/JIM. Dalam pertemuan pimpinan PAS dengan pimpinan Ikhwan di London pada tahun 1991, perkara ini telah diutarakan. Menurut wakil Ikhwan, Syaikh Mustafa Masyhur dikatakan telah menulis surat peribadinya kepada Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Syaikh Mustafa Masyhur  mengatakan pandangannya bahawa PAS mesti disokong oleh IRC di Malaysia  dalam pilihanraya dan dakwah. Malangnya surat yang dikirimkan melalui Prof. Khurshid Ahmad dari London itu tidak sampai ke tangan PAS. Ia hilang apabila berakhir ke tangan ABIM! PAS mengetahuinya melalui pertemuan sulit dengan Dr. Azzam Tamimi (wakil Ikhwan dan Hamas UK) semasa berkunjung di London.  Dua orang yang tahu akan perkara ini kini berada di barisan AJK PAS Pusat.
[17]Ironinya pula dalam tanzim JIM ini, Ustaz Alias Othman yang terkenal sebagai pakar rujuk IRC sejak pertengahan 70-an hingga tertubuhnya JIM, tidak menjadi Presiden JIM , tetapi hanya pernah memegang jawatan Timbalan Presiden JIM. Perkara ini pernah ditanyakan kepadanya. Jawapannya:  “strategi dalam dakwah, syaikh”. 
                [18]IRC Mesir yang mendaftarkan diri sebagai NGO atas nama "Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)." Kini ISMA turut dikembangkan di luar negara sebagai ISMA Jordan, New Zealand, Eropah, Jepun, Korea, India.
                [19]Merupakan serpihan daripada IRC UK didaftarkan pada tahun 1988 sebagai sebuah NGO atas nama "Petubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia."  Mempunyai perspektif yang sedikit berlainan daripada modus operandi JIM dan ISMA.
                [20]Ada kalangan exIRC yang ditemui menyebut tidak mustahil pada masa akan datang, IKRAM akan menjadi political front yang baru dalam perspektif dakwah di Malaysia. Menurut Ghazali (bukan nama sebenar),  penubuhan IKRAM itu sendiri selain daripada percubaan untuk tujuan wehdah, ia juga berperanan sebagai NGO Islamik alternatif kepada yang sedia ada dan barangkali akan mengikut langkah Parti PKS Indonesia yang juga mempunyai persamaan ciri-cirinya dengan IKRAM yang mengambil model al-Ikhwanul Muslimin.  Asas manhaj tarbiyyah harakiyyah yang dipegang oleh kalangan pengasas  seniors IRC adalah model al-Ikhwan dan sebagaimana berlaku perpecahan dalam fikrah al-Ikhwan sejak penubuhannhya oleh al-Imam  asy-Syahid Hasan al-Banna sehingga kini, begitulah yang berlaku kepada IRC sejak penubuhannya pada tahun 1974 sehingga menjadi IKRAM, JIM, HALUAN dan ISMA di Malaysia.